- May 21, 2014
- Posted by: Educoop
- Category: News
KUALA TERENGGANU 11 Mei – Kerajaan menerima perolehan sebanyak RM33 bilion hasil daripada penubuhan hampir 11,000 koperasi di negara ini sepanjang tahun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, perolehan itu diterima hasil kutipan yuran berjumlah RM12.81 bilion oleh 7.6 juta ahli koperasi selain jumlah aset yang dianggarkan bernilai RM107.9 bilion.
Katanya, jumlah tersebut merupakan satu angka yang besar dan beliau percaya sektor koperasi kini berada pada landasan yang tepat untuk diiktiraf sebagai sektor ketiga ekonomi negara menjelang tahun 2020 seperti yang digariskan dalam Dasar Koperasi Negara.
Walaupun jumlah koperasi yang didaftarkan melebihi 10,000, tetapi sebilangan kecil sahaja yang bersaiz besar iaitu melibatkan urus niaga melebihi RM5 juta setahun.
Sebahagian besar koperasi pula berada pada tahap mikro di mana urusniaganya kurang daripada RM200,000 setahun yang mewakili sebanyak 8,994 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 2.36 juta orang,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Koperasi Pembangunan Rakyat (KPR) Parlimen Kuala Terengganu Berhad di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi serta Pengerusi Biro Hal Ehwal Koperasi UMNO bahagian, Aliaas Mustafa.
Menyentuh mengenai KPR Parlimen Kuala Terengganu Berhad yang digerakkan oleh UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Hasan berkata, ia mampu menjana ekonomi penduduk setempat sekiranya setiap perancangan disusun dengan rapi.
Saya yakin selain menjana ekonomi, penubuhan koperasi ini juga mampu menyatupadukan masyarakat setempat dalam gerakan kerjasama yang erat serta padu dalam menempuh cabaran semasa yang makin mencabar,” katanya.
Published by