Koperasi Disaran Majukan Tanah Terbiar

JERANTUT, 7 Feb (Bernama) — Koperasi digesa tidak hanya menumpukan perniagaan dalam bidang kontrak, barangan runcit, borong dan pembekalan semata-mata, sebaliknya perlu berani mencuba bidang lain seperti memajukan tanah terbiar yang mampu memberi pulangan lebih tinggi.Anggota Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris berkata, banyak tanah terbiar berpotensi untuk dimajukan dengan pelbagai projek pertanian dan koperasi perlu mengambil kesempatan memajukannya dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) atau pemilik tanah. “Usaha memajukan tanah terbiar secara terancang menggunakan teknologi baharu sudah pasti boleh memberikan hasil yang lumayan kepada koperasi serta pemilik tanah terbiar itu sendiri. “Ia boleh diusahakan secara sewa, pajakan atau pawah dan selain boleh menguntungkan kedua-dua pihak, ia juga dapat mengurangkan masalah tanah terbiar di negeri ini,” katanya selepas merasmikan Koperasi Peserta Felcra Tembeling Tengah di sini. Ahmad Nazlan berkata, koperasi juga perlu kreatif dengan memulakan perniagaan kecil-kecilan dahulu dan tidak hanya menunggu perniagaan yang bermodal besar.

KOPERASI-PERNIAGAAN 2 (AKHIR) JERANTUT

“Kita boleh memulakan perniagaan secara kecil dengan modal terhad terlebih dahulu dan apabila mendapat sedikit keuntungan barulah boleh menjalankan perniagaan besar. Sebahagian besar mereka yang berjaya pada asalnya memulakan perniagaan secara kecil kecilan dan apabila ada keuntungan dan modal, akhirnya boleh melebarkkan perniagaan dan berjaya menjalankan perniagaan lebih besar,” katanya. Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yakin koperasi boleh maju dan mampu bersaing dengana syarikat lain yang lebih besar jika pengurusannya ditadbir secara profesionaal dan tidak mementingkan individu semata-mata.

— BERNAMA



Leave a Reply